RSS

ceRpEn

 
Pulanglah anakku NUR AMANA.

Senja menyerakkan warna di ufuk barat ketika aku keluar daripada perkarangan 
penjara, meninggalkannya dengan pandangan sayu yang penuh dengan luka 
tersayat. Air mataku telah kering untuk  menangisi episod hari ini lantaran 
tragedi semalam yang cukup menyedihkan.

"Sabarlah, Sumaiyah....," cuma pesanan itu yang diingatkan oleh suamiku 
sebelum aku melangkah pergi sebentar tadi. Ya, Siti Sumaiyah ini akan terus 
sabar kerana sabar itulah yang paling baik. Kerana sabar itulah yang 
terindah. Biarlah aku menjadi seperti Sumayyah, sahabat Rasullulah s.a.w. 
yang terus sabar dan teguh disiksa bertubi-tubi. Namun demi dinullah, 
keimanan terus dipertahankan.

Selepas solat Maghrib, doaku berentet panjang. Air mataku mengalir tanpa 
henti. Aku sedih. Aku kecewa. Aku benar-benar terasa sedih di bumi fana ini. 
Tiada lagi kegembiraan yang menguliti. Telah hilang senda gurau Nur Amana, 
puteri tunggalku. Sudah lenyap bisikan sayang suami tercinta. Semuanya telah 
tiada. Sekelilingku pemuh tomahan yang menyakitkan. Disekitarkan saban hari 
dihidangkan kisah-kisah
melukakan.

Suamiku pula kini dipenjara. Lengkaplah penderitaan ini. Aku sendiri tanpa 
dorongan dan semangat yang saban hari ditiupkan dalam rohku. Tiba-tiba hati 
kecilku berbisik, bahawa Allah tidak pernah meniggalkan hamba-Nya sendirian. 
Ingatanku melayang pada firman-Nya dalam surah Ad-Dhuha.

"Allah bersumpah demi waktu dhuha dan demi malam apabila telah sunyi, 
sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan dan membenci hamba-Nya. Kelak, 
Allah akan memberikan kurnia-Nya dan hatimu pasti akan melindungimu?. Dulu 
kau dalam keadaan bingung lalu Allah melindungimu?. Dulu kau dalam keadaan 
bingung
lalu Allah memberi petunjuk. Dan dia mendapatimu dalam serba kekurangan lalu 
Dia mencukupkan".

Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak 
sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu resah dan 
gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku sujud panjang, 
memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena di atas sejadah. Tubuhku 
benar-benar letih. Sudah hampir sebulan aku berada dalam keadan tidak 
menentu. Makan minumku sekadarnya. Tidurku dihantui mimpi-mimpi ngeri. 
Hari-hariku penuh kesedihan dan kekecewaan. Emosiku terganggu...

*******************************************************

Hatiku berdebar-debar menunggu keputusan doktor. Wajah doktor wanita yang 
bulat bersih itu kutatap sungguh-sungguh.

"Emm... positif! Memang Puan mengandung...," dia tersenyum memandangku. 
"Iyakah?," Aku seperti tidak percaya. Dia mengangguk. "Tahniah! Inai masih 
merah lagi... memang mahu anak awal?", tanyanya. Aku angguk. "Tentu husband 
Puan gembira, sampaikan ucapan tahniah saya padanya," katanya sebelum aku 
meninggalkannya.

Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti jawapan. "Macam  mana?," 
Tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah nak!". "Kalau Abang nak... 
adalah!".

Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira. Tuhan, 
syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku. Seperti sayangku 
padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam rahimku. Dia menjagaku 
sebaiknya. Makan minumku, sakit peningku. Dan segala-galanya. "Doalah, 
semoga anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang diingatkan 
padaku.

Aku teringat isteri Imran sewaktu mengandungkan Siti Maryam, wanita suci, 
ibu Nabi Isa a.s. yang diberi kelebihan melahirkan anak tanpa bapa. Isteri 
Imran menazarkan anak dalam kandungannya menjadi hamba yang soleh dan 
berkhidmat di Baitul Maqdis. Setelah melahirkan seorang puteri, dia berdoa 
lagi semoga anak-anaknya diberi perlindungan daripada syaitan yang terkutuk.

Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur pekertinya dan teguh 
memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu, hari-hari kubisikan 
kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di dalam rahim. Aku pasti 
ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya. Aku nyatakan harapanku dan 
saban hari bibirku tidak kering melagukan ayat suci Al-Quran. Surah Yasin, 
Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan Maryam telah sebati dalam pengalamanku. 
Sebelum melelapkan mata, suamiku akan mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan 
alangkah gembiranya hati bakal ibu apabila janinnya bergerak-gerak, memberi 
tindak balas pada kalimah tayyibah yang diajarkan.

Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan antara hidup dan mati. 
Terubat hatiku melihat senyumannya. Dia banyak menyalin rautku. Berkulit 
cerah dan berwajah bujur sirih. Paling seronok melihat lekuk di kedua belah 
pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana, nama pilihan suamiku. Menggabungkan 
maksud cahaya Ilahi yang menaungi setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan 
rahmat. Biar dia menjadi wanita terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti 
Fatimah az-Zahra, puteri Rasullulah s.a.w. yang terunggul.

Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami. Takdir Allah 
s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi selepas kelahirannya. 
Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali puteri seorang itu sajalah amanah 
yang perlu disempurnakan sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak bicara. 
Ketentuan Allah adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda.

Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan lahiriah, 
akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila dipandang 
menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara pada orang tua. 
Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya menyentuh hati orang 
lain. Bahagianya hati suamiku. Sejuk perutku yang mengandungkan. Dan 
syukurku melimpah kerana ibarat dianugerahkan puteri seorang bidadari dari 
syurga.

Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba pada suatu 
tengahari. Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cermelang dalam 
pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun, demi 
masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin dengan ilmu 
Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis segala unsur jahat. 
Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar biarpun 
hidup di lautan masin.

Lalu hari-hariku diulit rindu yang dalam. Terkenang telatah manjanya, 
senyumannya, rajuknya, dan bila menjamah hidangan tengahari tersentuh 
hatiku, teringat dia yang jauh dirantau orang. Kerabu pucuk paku dan ikan 
bakar sering membuatkanku menitiskan air mata. Lauk itulah kegemaran Nur 
Amana. Namun, rindu terubat juga bila sekali sekala suratnya menitip berita, 
menyatakan rindu dan kasih tidak terhingga.

Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan membanggakan. 
Air mataku menitis. Jauh di sudut hati, aku berbisik semoga anak inilah yang 
mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila hayat berakhir nanti. Dan di 
luar dugaanku, pulangnya Nur Amana membawa satu perubahan yang ketara. Dia 
berjilbab kini. Seluruh tubuh termasuk wajah ditutup dengan kerundung gelap. 
Pun aku bersyukr kerana perubahan itu menjurus kepada kebaikan. Seperti 
suamiku, aku tidak membantah.

"Di sana terlalu banyak fitnah, Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya 
apa yang mendorongnya memakai purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang 
memenuhi
negara kafir tempat Nur Amana menuntut ilmu itu. Alhamdulillah, kerana Nur 
Amana mengambil langkah bijak. Cuma saudara mara banyak membantah. Katanya, 
dengan keadaan yang seperti itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. 
Rugilah kelulusan tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum 
mendengar pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada 
rezeki untuk hamba Alah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana memujukku. Dan 
hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya, tidak sampai sebulan 
pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja di sebuah syarikat di Kuala 
Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang tugasnya, tapi menurut Nur Amana 
sebagai eksekutif. Dan kehidupan kami berlangsung seperti biasa. Hilang 
sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini. Hari-hari berada di 
depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur Amana mula berubah. Dia 
menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering mengurung diri dalam kamarnya. 
Keluarnya bila ke tempat kerja atau bila kuajak makan bersama. Itupun 
kadang-kadang dia menolak. Beberapa kali aku cuba mencungkil isi hatinya. 
Kenapa tiba-tiba dia berubah laku. Pun aku tidak berjaya. Nur Amana cukup 
bijak mengelak dan menyembunyikan.

Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur Amana telah 
menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama kepada Kristian. 
Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika itu Nur Amana tiada di 
rumah. Katanya out-station di Singapura selama seminggu. Aku dan suami 
mengambil langkah berdiam diri dahulu. Cerita sebenar perlu diperolehi oleh 
Nur Amana sendiri. Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, 
kalau tidak ada apa-apa?. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana 
sehingga timbul fitnah yang sebegitu besar?. Persoalan demi persoalan 
menujam diri menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya.

Kepulangan Nur Amana kusambut dengan air mata yang entah untuk apa. Yang 
pasti hatiku cukup bimbang. Cenderamata dari Singapura dihadiahkan. Sehelai 
kain sutera berwarna ungu yang cantik. Pun bagiku ia tidak bernilai apa-apa. 
Suamiku menggesanya cepat membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib 
berjemaah bersama. Tapi, Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan 
suami solat dahulu. Bila azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku 
mengetuk pintu kamarnya mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali lagi 
juga Nur Amana menolak dengan alasan dia sedang menyiapkan kertas kerja 
penting. Satu alasan yang tidak pernah dilakukan olehnya. Nur Amana yang 
kudidik tidak pernah melengahkan waktu solat. Tidak pernah mengutamakan 
kerja lain dari solat. Tapi, mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami 
bertentangan. Pun kami cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak 
terlebih dahulu.

Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang berkeroncong. 
Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan letih. Kecewanya hatiku dan 
suami. Selepas makan, Nur Amana menolak pintu bilik lagi, tapi cepat suamiku 
memanggil. Nur Amana duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja. Gadis yang 
baru mencecah 24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya lembut. Matanya 
redup. Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir senyuman. Soalan 
pertama diajukan oleh suamiku. Nur Amana tersentak. Dia menafikan 
sekeras-kerasnya. Katanya itu cuma fitnah orang yang benci melihat 
kejayaannya. Hatiku lega. Nur Amana, anakku masih memelihara agamanya.

Sebulan kemudian, aku dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar 
agama telah diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu, 
menghadiri persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau. 
Sikap Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan 
kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi. Suamiku 
juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura lagi)  memberi 
peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar sederhana besar itu 
tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa pemberinya telah kering di 
atas meja. Dari kad kecil yang terlekat cuma tertulis tahniah dan tersusun 
buku-buku tebal di atas rak. Aku menghampirinya. Dan jantungku berdegup 
kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu adalah berkenaan agama 
Kristian, termasuklah sebuah Bible dan terjemahannya. Aku menggeletar. 
Terasa lemah seluruh anggotaku. Suamiku segera menghubungi mahkamah meminta 
kepastian. Dan jawapan yang diberikan begitu menyakitkan. Air mataku turun 
tanpa henti. Apa salah didikanku, lalu dia jadi begitu? Subhanallah!

Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu 
biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan demi 
pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus berpanjangan. Namun 
akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya mencintai Adam... pemuda 
Kristian, saya benar-benar cinta padanya dan terperangkap dalam agama 
itu...," dan sepantas kilat sebuah tamparan hinggap ke pipinya. Kemarahan 
suamiku sampai ke puncak. Kesabaran terus terhapus. Nur Amana menangis. Aku 
terkaku. Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit.

Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana membawa 
bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai mengatakan bahawa 
"cuma
setakat ini saja hubungan kita". Nur Amana seolah-olah memutuskan bahawa aku 
bukan ibunya lagi, suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku mengalir dan terus 
mengalir. Hiba hati seorang ibu.

Suamiku bertindak pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari dari rumah! 
Pun polis tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan membantah pertukaran 
agama yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan lain, akhbar terpaksa 
digunakan meminta Nur Amana hadir ke mahkamah. Lalu, cerita Nur Amana 
menjadi hangat. Saban hari kisahnya terpampang di akhbar dan kaca 
televisyen. Latar belakangnya dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana 
dikritik. Pendidikan ibu bapa dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, 
ramai yang menyimpulkan, Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap 
Kristian kerana cinta! Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!

Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda berdarah 
India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya dibiarkan mengurai ke 
bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata lelaki janabi. 
Dan, terasa gugur jantungku bila terlihat sebentuk salib dibuat dari emas 
tulin bercahaya ditimpa cahaya lampu megah tersemat di dadanya. Nur Amana 
tunduk. Langsung tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang. 
Perbicaraan dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan. 
Suamiku gagal! Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada 
rakyatnya. Dan kami tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur 
lebih daripada 18 tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana kulihat tersenyum 
lega.

Hatiku hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan dikenakan 
hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat. Nur Amana bukan 
tidak tahu itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi, mengapa dia terus 
berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah dalam pelukan suamiku. 
Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk. Wajahnya merah padam menahan 
kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air matanya mengalir perlahan membasahi 
pipi. Menitis jatuh ke pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya 
gugur. Aku tahu hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya.

"Demi Allah! Aku bersumpah negara ini tidak akan aman kerana memegang 
undang-undang kafir!". Tiba-tiba suaranya lantang menjerit, meggegarkan 
suasana mahkamah yang telah sediakala hingar apabila mendengar keputusan 
mahkamah tadi. Mahkamah sunyi seketika. Semua mata tertumpa padanya. 
Tiba-tiba jeritan itu disambut dengan laungan "Allahu Akbar" dari orang yang 
tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Aku cuba meredakan kemarahannya. 
Namun air matanya semakin lebat. "Mahkamah ini tidak adil! Sekular! 
Undang-undang penjajah!'.

Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku 
meronta-ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis melemahkan 
kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan tangannya digari. Ketika 
melintasi Nur Amana yang terus tenang berdiri di sebelah lelaki muda yang 
tidak kukenali itu, suamiku menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih, 
teruskanlah... tapi ingat, kehidupanmu pasti tidak akan selamat!," Nur Amana 
tidak menjawab. Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas senyuman di 
bibir lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur Amana, 
seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya.

Dan hari ini, suamiku merengkuk dalam penjara. Dituduh menderhaka kepada 
mahkamah! Dan ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana menerbitkan 
sentimen perkauman juga keagamaan.

Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali. Aku belum 
solat Isyak. Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan menyambung mimpi 
ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk. Solat Isyak kudidrikan. Kemudian 
kususuli dengan solat Taubat dan Hajat. Air mataku gugur lagi pada dinihari 
yang sepi. Doaku tidak putus. Hatiku retak. Namun jauh di sudut hati. Aku 
terus berharap... pulanglah anakku, Nur Amana!.


1.Kecantikan Sejati Bukan Di Wajah
"Boleh saya melihat anak saya?" pinta seorang ibu yang baru melahirkan seorang anak dengan penuh kebahagiaan. Ketika gendongan itu berpindah ke tangannya dan ia membuka selimut yang menutupi wajah bayi lelaki yang comel itu.
Ibu itu menahan nafasnya. Doktor yang menunggunya segera berbalik memandang ke arah luar jendela rumah sakit tidak sampai hati menatapi wajah ibu tersebut. Bayi itu dilahirkan tanpa kedua belah telinga.
Waktu berlalu dan kini bayi tersebut telah menjadi seorang anak yang boleh berkativiti dengan sempurna, cuma penampilannya saja yang tampak aneh dan buruk.
Suatu hari anak tersebut bergegas pulang ke rumah terus membenamkan wajahnya di pelukan ibunya yang menangis. Ia tahu hidup anaknya penuh dengan kekecewaan dan tragedi. Sambil teresak-esak anak lelaki itu mengatakan yang dia diejek oleh orang dewasa dan dikatakan anak ini adalah makhluk aneh.
Di sekolah anak tersebut disukai oleh rakan-rakan sekolah. Anak tersebut membesar tampan dengan kecacatannya. Dia berbakat dalam bidang muzik dan penulisan.
"Ibu,saya ingin menjadi ketua kelas."
Ibu hanya mendiamkan diri, tapi di dalam hati ibu merasa kasihan dengan anaknya.
Suatu hari si Ayah terus berjumpa dengan seorang doktor yang boleh melekatkan telinga untuk anaknya.
"Saya percaya saya boleh memindahkan sepasang telinga untuknya, tetapi harus ada orang yang tampil untuk menderma".
Beberapa bulan kemudian si ayah memanggil anaknya sambil berkata, "Nak, seorang yang tak ingin dikenali telah bersedia mendermakan telinganya padamu. Kami harus segera mengirim kamu ke hospital untuk menjalani pembedahan tetapi jangan ditanya siapa yang menderma."
Pembedahan dilakukan dengan berjaya dan kini telah lahir seorang lelaki yang mempunyai cukup sifat. Bakat muziknya yang hebat menjadikan ia terkenal dan menerima banyak penghargaan dari sekolahnya.
Masa berlalu dan dia pun berkahwin dan bekerja sebagai seorang yang berpangkat besar. Terdetik di hatinya tentang masa-masa silam lalu menghampiri ayahnya.
"Ayah, saya hendak mengetahui siapa yang telah mengorbankan ini semua pada saya, ayah. Ia telah membuat sesuatu yang amat besar dan ingin sekali saya membalas budinya."
Ayahnya menjawab, "Ayah yakin kau tidak boleh membalas kebaikan hati orang yang telah memberikan telinga itu."
Setelah terdiam sesaat ayahnya melanjutkan kata-kata, "Ayah tidak dapat membuka rahsia ini sebelum tiba saatnya."
Tahun berganti tahun ayahnya tetap menyimpan rahsia. Hinggalah pada suatu hari tibalah saat yang menyedihkan bagi keluarga itu. Di hari itu ayah dan lelaki itu berdiri ditepi jenazah ibunya yang baru saja meninggal dunia. Dengan perlahan dan penuh syahdu si ayah membelai rambut isterinya yang terbujur kaku sambil menyelak rambut sehinggalah tampak bahawa si ibu tidak mempunyai telinga.
Sambil menangis si ayah berkata, "Ibumu sangat suka menyimpan rambut yang panjang dan tak seorang menyedari bahawa ia telah hilang sedikit kecantikkannya."
Kecantikkan yang sejati tidak terletak pada penampilan tubuh tapi di dalam hati. Harta karun yang hakiki tidak terletak pada zahirnya, namun pada apa yang tidak dapat dilihat. Kasih sejati tidak terletak pada apa yang telah dikerjakan dan diketahui, namun pada apa yang dikerjakan dan tidak diketahui.
- Artikel iluvislam.com

1.Cikgu Tadika
Mari kite ambil iktibar daripada cite ni!!!!
Ada seorang cikgu tadika yang tak percaya wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak di tadika tersebut supaya tak percaya wujudnya Tuhan. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal...
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen ini?
Murid-murid : Nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada kan?
Murid-murid : Ada cikgu.
Kemudian guru tadika tadi memasukkan pen itu ke dalam poket dia dan kemudian bertanya lagi..
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Tuhan ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itu berjaya. Tetapi.. dalam kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak yang pintar yang bernama Amin lalu dia pun mengangkat tangan...
Amin : Cikgu, boleh saya cakap sesuatu?
Guru tadika : Boleh, mari ke depan.
Amin : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid : Nampak.
Amin : Cikgu ada kan?
Murid-murid : Ada.
Amin : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
Murid-murid : Tak nampak.
Amin: Cikgu ada otak tak?
Murid-murid : Tak ada.
- Artikel iluvislam.com]

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS