RSS

Hadiah Bulan Rejab



Hadiah Bulan Rejab
  
        Malam itu, sewaktu baginda Rasulullah s.a.w. duduk berhampiran dengan Ka'abah, tiba-tiba datang Malaikat Jibrail bersama sebuah kenderaan disisinya. Malam itu, Nabi s.a.w. dipelawa untuk menyusuri satu perjalanan yang cukup jauh bermula dari masjidil Haram ke masjid Al Aqsa kemudian menuju ke Sidhratul Muntaha. Perjalanan yang penuh dengan pengajaran dan hikmah menuju ke destinasi agong; mengadap Raja segala Raja. Malam itu juga Nabi s.a.w. kembali membawa bersamanya hadiah istemewa pemberian dari Yang Maha Agong. Itulah solat; hadiah malam 27 Rejab. Setibanya kepangkuan ummah, Nabi s.a.w. yang penyayang menghadiahkan pula pemberian ini kepada mereka. Hadiah dihulurkan bersama satu ingatan; 'dirikanlah ia 5 kali sehari dan hayatilah ia'. Hanya mereka  yang menghayati pemberian ini sahaja yang akan merasai kenikmatan hadiah dari langit ini. Antara kesan positif yang lahir dari penghayatan solat ialah:-1.  Mudah meninggalkan maksiat
  • Bagi orang-orang yang benar-benar menghayati solat, Allah akan beri kekuatan dan mudah baginya untuk meninggalkan maksiat sebagaimana firmanNya:
        "Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar."
(Al Ankabut: 45)
    Oleh itu, jika solat kita tidak memberikan kekuatan untuk meninggalkan maksiat, periksalah semula solat kita.
  • Dapat merasakan rasa kehambaan di dalam dan di luar solat. Rasa kehambaan yang dimaksudkan ialah rasa malu, rasa takut, rasa cinta, rasa lemah dan rasa selalu diperhatikan oleh Allah. Apabila diri rasa diperhati oleh Allah maka sudah tentu kita takut untuk membuat sesuatu yang dilarang olehNya. Sekiranya tidak wujud perasaan seperti ini, maka hati tidak tenang. Bila menghadapi masalah hati gelisah, dan bila dapat nikmat, melonjak gembira sehingga lupa untuk bersyukur. Sedangkan orang yang ada sifat kehambaan itu tidak tersentuh dengan kesusahan yang menimpa kerana merasakan dirinya hamba, yang layak mendapat kesusahan. Dia tidak sombong dan tidak angkuh, sebaliknya merasakan kesusahan sebagai rahmat Allah yang bertujuan untuk menghapuskan dosa-dosanya.
  • Dapat menghayati rasa bertuhan
  •         Dia sentiasa dapat melihat Maha Hebatnya Allah, Maha Tinggi, Maha Besar, Maha Kaya dan seumpamanya. Dia memahami maksud Allah kurniakan sesuatu padanya. Contohnya bila dikurniakan wang lebih daripada yang orang lain, dia faham kenapa Allah berikan kepadanya. Kekayaan itu untuk diagih-agihkan kepada orang lain. Bila diberi kecerdikan lebih dari orang lain, dia mudah memahami ilmu. Allah kurniakan kelebihan itu supaya dia menyampaikan kepada orang lain. Bila Allah berikan kesihatan yang baik sedangkan orang lain selalu sakit, dia faham pula maksud Allah agar dia sentiasa dapat menabur khidmat bakti pada masyarakat.
  • Menjadi orang yang berakhlak
  •         Kejayaan seseorang yang menghayati solat juga dapat dilihat dari akhlaknya yang baik, sama ada akhlak terhadap manusia mahupun akhlak terhadap Tuhan. Contoh akhlak terhadap manusia antaranya bersifat tolak ansur, suka menolong, pemurah, tawadhu'(merendah diri), pemaaf dan suka meminta maaf, penyayang, rajin, jujur, ramah mesra dan mudah bekerjasama. Sementara akhlak terhadap Tuhan pula ialah merasa diri serba kekurangan, sabar dengan ujian kesusahan, baik sangka dan lain-lain. Jadi hasil dari solat yang khusyu' itu akan membuahkan akhlak yang terpuji.
  • Mencairkan sifat mazmumah (sifat keji)
  •         Selain dapat mencegah kemungkaran, solat yang dihayati juga dapat mengikis sifat mazmumah. Antaranya sifat sombong, dengki, dendam, bakhil, khianat, pemalas, pengotor dan sebagainya. Ini adalah kerana setiap kali mengerjakan solat, kita terasa diri hina di depan Tuhan. Begitulah jika solat dapat dipertingkatkan, sifat-sifat yang keji akan dapat dikikis dari masa ke semasa.Tapi sebaliknya, perlu diingat ada segolongan manusia yang semakin dia solat semakin jauh pula dia dari Allah. Mereka ini termasuk dalam golongan hamba-hamba yang derhaka dalam ta'at. Mereka sebenarnya  membina rasa ketuhanan dalam solat. Bila rajin melakukan solat, mereka rasa diri mereka sudah baik dan selamat serta tidak takut dengan murka Allah. Hasilnya sifat keji tidak cair bahkan semakin kental. Pada lahirnya dia kelihatan hebat. Pagi-pagi sudah bangun mengadap Tuhan, tapi hakikatnya dia membina rasa ketuhanan didalam dirinya. Tandanya, bila ditegur mudah melenting, memandang rendah kepada yang kurang beramal dan suka menyebut-nyebut kebaikan yang dibuatnya. Begitulah antara kesan yang baik hasil dari solat yang  dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bukan sahaja faham bacaan dalam solat bahkan dapat menghayati setiap apa yang dibaca. Moga-moga kita dapat memperkemaskan ibadah solat kita dari masa ke semasa.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan